Program Pendidikan Khas Integrasi

Masalah Pembelajaran

Friday, December 11, 2009

LATAR BELAKANG PROGRAM

Sejarah Penubuhan Program

Kewujudan Program Pendidikan Khas diilhamkan atas kesedaran dan keperluan.Program ini bertujuan memberi peluang kepada anak-anak istimewa mengikuti proses pembelajaran dengan suasana perkembangan sosial sebagai seorang kanak-kanak biasa. Meskipun mereka memerlukan beberapa kaedah dan peralatan yang khusus dalam proses pembelajaran mereka.

Adalah sesuatu yang membanggakan kerana penubuhan kelas Pendidikan Khas di SK Sungai Buloh adalah cetusan idea dari salah seorang guru yang mempunyai seorang anak istimewa.Beliau adalah Encik Burhanuddin b.Mohd Aris.

Hasil usaha pelbagai pihak akhirnya program ini dengan rasminya dijalankan sebaik sahaja sessi persekolahan 1996.Program ini bermula dengan dua buah kelas iaitu Kelas Bermasalah Pembelajaran dan Kelas Bermasalah Pendengaran.

Pada peringkat awal penubuhannya bilangan pelajar hanya 4 orang.Seorang pelajar bermasalah pendengaran manakala tiga orang lagi pelajar bermasalah pembelajaran.Dua orang guru yang bersedia sepenuhnya mengembeling tenaga mengukuhkan asas kepada perkembangan alam pendidikan kanak-kanak istimewa.Guru yang merealisasikan visi dan misi pendidikan kanak-kanak istimewa ini adalah Encik Burhanuddin bin Mohd Aris dan isterinya Puan Ismawati.

Atas kesedaran dan tanggungjawab masyarakat terhadap kepentingan pelajaran, bilangan pelajar bertambah dari semasa ke semasa.Pada tahun 1997 seramai 25 orang murid berdaftar di kelas ini dengan 7 orang tenaga pengajar.Bilangan murid bertambah kepada 35 0rang.Tahun 2001 bilangan murid berdaftar seramai 55 orang dengan 9 buah kelas dan 13 orang guru.

Peningkatan pelajar yang terus meningkat mendesak keperluan kepada ruang perlu dipenuhi.Tuntutan keperluan itu dipenuhi dengan pembukaan pusat baru tidak jauh dari sekolah ini iaitu di SK Bukit Rahman Putra.Penubuhan pusat baru membawa kepada perpindahan murid-murid yang mengalami masalah pendengaran ke pusat tersebut.Mulai sessi persekolahan Januari 2001 SK Sungai Buloh hanya mengendalikan Program Integrasi Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran.

Dalam program ini,murid yang disahkan oleh pakar perubatan mengalami masalah seperti Attention Defisit Hyperaktif Disorder.,Autisme,Hydro Cephalus,Syndrom Down,Celebral Palsy,Multiple Handicap,Slow Learner adalah layak mengikuti program pendidikan khas.

Peningkatan bilangan pelajar dan tenaga pengajar seiring bagi mengimbangi keperluan tersebut.Pada tahun 2003,bilangan pelajar mencecah 63 orang .Sehingga Januari 2008 jumlah murid yang berdaftar di kelas Program Integrasi Pendidikan Khas seramai 68 orang.Jumlah tersebut merupakan jumlah tertinggi pelajar istimewa dalam daerah Gombak.Bilangan tenaga pengajarnya seramai 16 orang memenuhi kouta 1:6.5.Tenaga pengajar yang diberikan latihan dari semasa ke semasa seramai 16 orang dan dibantu pula dengan 2 orang Pembantu Pengurusan Murid yang dihantar ke sekolah ini mulai tahun 2007.

Pada bulan Februari 2007,selaras dengan seruan kerajaan untuk memberi pendidikan awal kepada kanak-kanak,Program Pra Sekolah Pendidikan Khas dibuka dan dikendalikan oleh seorang guru Pendidikan Khas dengan bantuan seorang Pembantu Pengurusan Murid.Pada awalnya kelas ini hanya mempunyai seramai 3 orang murid berdaftar,namun pada awal Januari 2008 kelas ini mempunyai seramai 7 orang murid kesemuanya.

Pelbagai usaha untuk memacu kecemerlangan pendidikan bagi kanak-kanak istimewa ini.Justeru itu pihak pengurusan Program Pendidikan Khas berusaha memenuhi keperluan para pelajar.Antara keperluan khusus yang dimaksudkan adalah aktiviti riadah.Aktiviti ini dipercayai boleh membantu merangsang para pelajar ke arah keyakinan diri.Selain itu aktiviti ini memberi manafaat yang besar dari segi kesediaan pelajar meneruskan kehidupan dalam masyarakat sekelilingnya.

Melalui Program Pendidikan Khas para pelajar di beri pendedahan secara kognitif mengikut tahap pencapaian dan didedahkan dengan kaedah bersosialisasi dengan rakan-rakan dan masyarakat sekeliling dengan penuh yakin.Pendekatan sosialisasi ini secara tidak langsung memberi ruang kepada masyarakat mendekati serta memahami golongan istimewa ini.Oleh yang demikian adalah diharapkan anggota masyarakat boleh berinteraksi secara toleransi dengan golongan istimewa.